28 December 2009

Hijrah, ke mana kamu berhijrah wahai ummah??

1431H. Macam-macam orang ucap, itu dan ini. Semuanya seputar azam baru di tahun yang baru. Berniat hendak mejadi lebih baik, berniat untuk mempertingkatkan diri. Tetapi, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun.

1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud.

1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul.

Namun, apakah azam-azam ini diiringi dengan perancangan? Atau sebut-sebutan dari omongan? Ke arah mana kita berhijrah hakikatnya?

Menjadi hamba Ilahi Yang Berkuasa, atau hakikatnya berhijrah dalam lingkungan perhambaan di dalam dunia juga?

Ke arah mana?

Iman terjemahannya amal, cita-cita terjemahannya perancangan.

Amat pelik untuk saya, orang-orang berazam tetapi tidak pula merancang cara untuk menggapai azamnya. Begitulah juga manusia-manusia yang sibuk bercakap berkenaan Palestin, tetapi tiada perancangan rapi untuk membebaskannya.

Kita sudah penat dengan omongan kosong.

Dunia tidak akan tertawan hanya dengan bicara. Sebuah negara hanya bisa ditakluk dengan usaha. Bukan usaha semberono, tetapi usaha yang penuh dengan perancangan yang bersungguh-sungguh.

Merancang adalah bukti kita punya matlamat yang jelas. Kita nampak ke mana kita hendak berakhir, apa yang kita mahu, dan apa yang kita hendak gapai, maka kita merancang, langkah demi langkah agar kita mampu mencapai apa yang kita harapkan.

Di sinilah baru berlakunya peningkatan. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadar terus dengan kehidupan, bukannya turun dan naik dengan mengikut keadaan.

Apakah kita merancang wahai diri yang kini menyatakan 1001 azam?

Dunia bukan untuk bermain-main Dunia ladang akhirat.

Kita semua tahu. Setiap amal baik dan buruk akan dihitung walau sebesar zarah. Kita semua tahu. Maka dengan pengetahuan kita ini, apakah kita menyangka dunia ini boleh kita lalui dengan bermain-main sahaja?

Kita tahu hari ini ummat Islam tertindas, kita sedar hari ini musuh-musuh Allah amat hebat, kita nampak betapa kita hari ini lemah, kita faham betapa jauhnya kita hari ini dengan Allah SWT, maka apakah yang telah kita usahakan?

Adakah cukup dengan kata-kata dan penulisan?

“Salam ma’al hijrah, semoga lebih baik”

“Semoga meningkat”

“Harap tahun ini lebih baik”

Kita sebut dengan kefahaman dan terjemahan amal, atau sekadar mengisi ruang kegembiraan satu sambutan? Kita hakikatnya mahu, setiap perbuatan kita, gerak geri kita memberikan kesan kepada pembangunan ummah. Kita tidak mahu kehidupan yang sia-sia.

Kita tidak hadir ke dunia ini untuk hanya bermain-main sahaja.

Lihatlah ke arah mana mereka berhijrah.

Menelusuri kisah hijrah para sahabat, pasti kita melihat betapa kita merentas tahun hijrah ini hanya dengan bermain-main sahaja.

Hijrah di dalam Islam punya makna yang besar. Bukan merentas tahun, tetapi merentas sahara untuk menyelamatkan iman. Bagaimana pula mereka berhijrah? Adakah dengan segala kemewahan? Tidak.

Suhaib Ar-Rumi RA, seoran hartawan yang terkenal dengan kekayaannya. Awalnya dia berhijrah dengan seluruh hartanya. Di tengah perjalanan, dia berjaya ditahan pihak Musyrikin Makkah. Mereka hendak membawanya pulang, menghalangnya daripada meneruskan hijrah.

Lantas Suhaib Ar-Rumi berkata: “Apakah kalau aku tinggalkan semua hartaku di sini, maka kamu akan membenarkan aku pergi?”

Dan dia meninggalkan seluruh hartanya. Saya ulang, dia meninggalkan seluruh hartanya.

Untuk apa?

Untuk hijrahnya kepada Allah SWT, untuk menyelamatkan keimanannya. Dia sanggup mengorbankan seluruh hartanya. Kerna dia jelas, dia berhijrah ke arah Allah SWT Yang Maha Kaya, Yang Berkuasa Atas Segala-galanya.

Abdurrahman bin Auf, seorang lagi hartawan terkenal. Dia awal-awal lagi bergerak keluar dari Makkah dengan sehelai sepinggang. Langsung tidak membawa hartanya. Sehingga di Madinah terpaksa memulakan perniagaannya daripada aras bawah semula. Begitu juga hartawan lain seperti Abu Bakar, Uthman dan lain-lain yang mengikuti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri bersabung nyawa di dalam peristiwa hijrah ini. Begitu juga Saidina Ali bin Abu Talib RA yang sanggup menggantikan Rasulullah SAW di kamar baginda.

Pernahkah anda tertanya-tanya, atas dasar apakah mereka sanggup berkorban sedemikian rupa?

Kerana mereka benar-benar jelas akan penghijrahan mereka.

Mereka berhijrah kepada Allah SWT.

Keimanan mereka, keyakinan mereka membuatkan mereka sanggup mengorbankan segalanya, asalkan penghijrahan mereka kepada Allah SWT itu berjalan lancar.

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Maka, apakah yang telah kita korbankan, andai benar penghijrahan kita kepada Allah SWT?

Atau sebenarnya, hijrah kita bukannya kepada Allah SWT, sebab itu kita tidak mengorbankan apa-apa? Sebab itulah kita tidak merancang apa-apa?

Jika benar, maka kita ini tidak berhijrah sebenarnya.

Penutup: Tiada Lagi Hijrah Selepas Itu, Selain Perjuangan Ke Arah Kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Makkah:

“Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlah” Riwayat Bukhari.

Maka bergeraklah kepada kebaikan, jangan lengah. Bergerak dengan sistematik tanpa boncah. Keraskanlah diri menghadapi segala ujian agar tidak tergoncang. Korbankan apa yang patut dikorbankan, kaut apa yang patut dikaut.

Kenapa kita mesti redha dengan diri kita penuh dosa hari ini? Kenapa kita mesti rasa tidak mengapa dengan kelemahan kita hari ini? Kenapa kita mesti tunduk pada kezaliman dan kehinaan dunia kepada kita hari ini?

Maka bangkitlah, ubah segalanya, bermula dengan diri sendiri.

Jangan sekali mengungkap berubah itu, berubah ini, meningkat itu, meningkat ini, dengan kalam-kalam kosong tanpa perancangan. Kita tidak mahu bermain-main, kita bukan hamba tradisi. Kita hamba Ilahi.

Bergeraklah. Bergerak dengan serius.

Berhijrahlah, berhijrah dengan perancangan dan usaha yang tulus.

27 December 2009

Berapa lama anda mampu hafaz 30 juzu'???

Kita mampu untuk menghabiskan hafalan Al Quran secara keseluruhan(dengan izin Allah s.w.t). Tempoh masa untuk menghabiskan hafalan 30 juzu' Al Quran bergantung kepada kadar kemampuan seseorang menghafal beberapa jumlah ayat sehari sebagaimana jadual berikut :

"Sesungguhnya Kami(Allah) menurunkan peringatan(Al Quran) dan pasti Kami melindunginya(daripada kepalsuan)" Surah al Hijr : 9

"Sebaik-baik kamu adalah mereka yang belajar Al Quran dan mengajarkannya" - Hadia riwayat Imam Bukhari.

"Bacalah Al Quran, sesungguh ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya" - Hadis riwayat Imam Muslim.

"Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu daripada Al Quran adalah seperti rumah yang roboh" - Hadis riwayat Imam Tarmizi.

Budaya Membaca Orang Islam Lapuk??

Ungkapan “membaca jambatan ilmu” sering kita dengar. Perkataan ‘iqra’ yang bermaksud bacalah merupakan perkara sinonim dalam diri kita sebagai umat Islam. Namun, hakikatnya sejauh mana kita menghayati perkara ini.

Mengimbau kembali sejarah silam kita akan mendapati bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangannya hasil daripada perkembangan pesat dalam bidang keilmuan. Perkembangan pesat wujud akibat semangat suka membaca dan cintakan ilmu dalam diri umat Islam pada zaman itu sehingga lahir ramai ulama’ yang pakar dalam bidang agama, sains, dan teknologi dan natijahnya umat Islam pada masa itu dipandang tinggi dan digeruni oleh umat-umat lain di dunia.

Marcapada, umat Islam pada zaman ini jelas berbeza dengan umat Islam pada masa dahulu. Kita pada masa ini dianggap sebagai umat yang paling hina dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh orang kafir selain kita dipaksa mengikut telunjuk mereka dalam segala bidang tidak kira politik, sosial , dan ekonomi yang memang jelas bertentangan dengan syariat Islamiyyah.

Secara peribadinya saya berpendapat bahawa situasi ini berlaku disebabkan sikap individu muslim sendiri yang semakin jauh daripada amalan membaca dan ilmu pengetahuan. Kita lihat sendiri fenomena di negara kita di mana orang Melayu Islam khususnya tidak suka atau jarang sekali membaca sehinggakan terpaksa diadakan kempen untuk menggalakkan kita membaca. Kempen ini tidaklah salah tetapi berdasarkan pengalaman saya di England dahulu, tidak pernah wujud kempen membaca kerana rakyat di sana boleh dikatakan membaca buku hampir setiap hari manakala kita di sini ada yang hanya membaca sekali dalam sebulan (tidak termasuk buku akademik).

Kanak-kanak di sana memang telah dididik sejak kecil untuk membaca di mana perpustakaan awam disediakan oleh kerajaan di merata tempat dan mereka digalakkan meminjam sebanyak 14 buah buku seorang untuk tempoh seminggu.

Selain itu, di sekolah pula para pelajar diwajibkan untuk membuat laporan tentang sebuah buku yang dibaca setiap minggu. Program-program ini bukan hanya berlaku di sesetengah tempat sahaja tetapi di seluruh negara kerana saya berkesempatan untuk tinggal di beberapa tempat yang berbeza ketika di sana dan mendapati terdapat persamaan tentang budaya membaca rakyat di sana yang memang umum diketahui majoritinya adalah Kristian.

Satu perkara lagi, membaca merupakan amalan orang Barat di mana ibu bapa akan membacakan sebuah buku untuk anak mereka sebelum tidur. Perkara di atas saya kira berlainan dengan budaya membaca di negara-negara Islam khususnya Malaysia.

Jelaslah umat Islam di dunia memang jauh ketinggalan berbanding Barat berkaitan semangat membaca. Tidak hairanlah sekarang ini kita dijajah oleh mereka dan kita tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan semangat suka membaca pada masa ini wujud dalam diri mereka dan telah hilang dalam diri kita, umat Islam.

Saya ingin menyeru kepada umat Islam sekalian agar mengingati kembali wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad iaitu ‘bacalah’. Sedar atau tidak budaya membaca memang telah lama diamalkan oleh kita iaitu amalan membaca al-Quran tetapi janganlah kita hanya sekadar membacanya tetapi tidak memahaminya dan terus menyebabkan kita semakin ke belakang. Sesungguhnya jika kita benar-benar menghayati bacaan al-Quran kita, saya yakin kita mampu mengembalikan zaman keagungan tamadun Islam yang terkenal pada masa dahulu.

26 December 2009

tudung labuh...

Izinkan diri ini untuk meluahkan kata-kata, Bukan kata-kata kesat, Bukan kata sindirian, Bukan kata kosong.

Perkara ini nampak seperti hal yang remeh, tetapi bagi ana ini merupakan sesuatu yang amat mendalam dan agak menikam kalbu.. Apabila diutarakan mengenai tudung labuh, walaupun bukan tudung bulat pun, apabila tudung itu sudah lebih besar daripada orang lain, pastinya persepsi masyarakat akan turut berubah seiring dengan perubahan tudung tersebut.

Mengapa persoalan ini diutarakan? Apa selalunya yang terlintas dalam diri masing-masing apabila melihat seorang perempuan memakai baju kurung berserta dengan tudung yang lebih labuh daripada perempuan-perempuan yang lain? Pastinya tanggapan pertama ialah; perempuan ini perempuan yang baik, perempuan yang sopan, perempuan yang tahu menjaga adab dirinya.

Namun adakah kita sedar, dalam majoriti kaum wanita yang dikatakan bertudung labuh yang nampaknya sopan itu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka ini yang sebenarnya sedang menconteng arang ke muka wanita-wanita yang lain.

Mengapa ana berkata begini? Tentu saja anda semua pernah dengar perkataan ini, “Alah tak payahlah nak poyo-poyo pakai tudung labuh. Ingat semua orang yang tudung labuh ni baik sangat ke? Kadang-kadang yang tudung labuh ni lagi teruk daripada tudung kecil!” pasti pernahkan? Bagi yang baru pertama kali mendengarnya, pasti hati berasa panas sahaja mendengar perkataan sebegitu yang diluahkan. Namun, itulah hakikat.

Kebanyakkan wanita sekarang ini, maaf untuk menegur, tidak berakhlak seperti yang tertera pada pakaiannya yang labuh. Berdating sana sini, bermesejan lelaki itu ini, berhuha-huha dengan lelaki ajnabi, berkoling-koling, berkapelan islamik kononnya, cakap buang masa, menggedik sana sini(maaf kalau ada yang terasa) dan banyak lagi yang mana akhlak tersebut langsung tidak kena pada imej wanita muslimah yang ditonjolkan.

Apabila orang kata tudung labuh pun sama teruk juga, cepat saja naik darah. Sedangkan siapa yang menyebabkan orang lain berfikiran seperti itu? Apabila timbul masalah seperti ini, pastinya orang lain yang mahu bertudung labuh terbantut niatnya melihatkan akhlak wanita bertudung labuh yang lain ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Akhirnya timbullah perkataan seperti, “ Aku tak pakai tudung labuh pun, free hair je kot, tapi aku tak adalah macam si polan tudung labuh tu. Harap tudung tu je yang besar, akhlak tak besar pun,”

Ya, memang diakui,yang bertudung labuh juga adalah manusia biasa yang punya keinginan. Tapi bukankah elok jika cara pemakaian kita seiring dengan tudung yang dipakai? Tutup aurat itu merupakan satu kewajipan,menjaga akhlak juga satu kewajipan bagi kita. Mengapa hanya diambil satu perkara sahaja, dan ditinggalkan satu perkara lagi?

sumber : www.iluvislam.com

20 December 2009

SUBMISSION....filem menghina ISLAM

Submission ialah sebuah dokumentari pendek yang dihasilkan oleh seorang 'bekas' muslimah, Ayaan Hirsi Ali dan pengarah Theo van Gogh mengenai layanan buruk islam terhadap wanita.
filem ini menunjukkan wanita yang diseksa, dengan beberapa ayat Al-Quran tertulis pada kulit badan mereka yang mengesahkan mereka diseksa dengan zalim.

++info filem submission++
Edaran : iFILM
Arahan : Theo van Gogh
Skrip : Ayaan Hirsi Ali
Tempoh tayangan : 10 minit
Tahun edaran : 2004
Bahasa : Inggeris
Subtitle : Belanda

Karektor-karektor dalam Submission

Narrator
>Tukang cerita dalam filem ini
>Berpurdah dan berjubah nipis yang menampakkan tubuh badan seolah-olah bogel
>Di perutnya tertulis Al-Fatihah
>Memulakan dan mengakhiri filem dengan sembahyang(dalam keadaan bogel itu)
>Menceritakan kisah 4 orang wanita yang meminta agar Tuhan meringankan penderitaan mereka.

Wanita 1
>Melakukan zina dengan kekasih
>Disebat seratus kali
>Di seluruh badan tertulis ayat Quran larangan zina dan hukumannya

Wanita 2
>Dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak disukai
>Bergaun pengantin dan tertulis di belakang badannya ayat mengenai wajib mentaati suami dalam apa jua keadaan.

Wanita 3
>Dipukul berulang kali oleh suami
>Lebam dan luka seluruh badan.
>Tertulis ayat mengenai keutamaan lelaki sebagai pelindung wanita.

Wanita 4
>Sentiasa menjaga aurat setiap masa dan mentaati ajaran Islam dengan baik.
>Tetapi dirogol oleh bapa saudara sehingga mengandung.
>Tertulis di atas jubah ayat mengenai tatacara pergaulan sesama saudara dalam Islam.

19 December 2009

Belajar Tanpa Guru Umpama Belajar Dengan Syaitan?

Petikan dari blog Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jufri (Pengerusi Fellow MANHAL PMRAM)
Berikut adalah satu persoalan di iluvislam.com:

Assalamualaikum, saya nak tanya. Pak cik saya ada kata ada hadis yang menyatakan belajar tanpa bimbingan guru umpama belajar bersama dengan syaitan. Apa pendapat anda? Saya tak pasti akan kesahihannya dan saya rasa sahih kerana pak cik saya seorang ustaz.

Namun, mungkin ia ada maksud disebaliknya.Minta penjelasan. Terima kasih.

Berikut adalah jawapan saya pula:

Pertamanya menjawab persoalan yang ditimbulkan di awal thread ini. Adakah benar hadis belajar tanpa guru adalah berguru dengan syaitan? Ana katakan, ana tidak pernah menjumpai matan hadis sedemikian dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Ana katakan "tak pernah jumpa", bukan ana katakan ia palsu tau.

Namun begitu para ulamak biasa menyebut kalam ini di dalam kitab-kitab mereka. Ingat satu perkara yang mesti kita iktiqad, ulamak agung silam takkan dengan sengaja menulis sesuatu mengikut hawa nafsu dan meletakkan sesuatu yang mereka anggap salah. Mereka tentu beranggapan kalam tersebut adalah benar. Hormatilah ulamak dan jangan bersikap kurang ajar dengan mereka.

Lebih-lebih lagi dengan kalam yang lebih sahih iaitu "sesungguhnya ilmu itu didapati dengan dipelajari." Imam Syafie pula pernah menyatakan, "sesiapa yang tafaqquh dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam". Para ulamak juga menyebutkan, "antara kebodohan terbesar, adalah menjadikan helaian-helaian sebagai syaikh".

Walaupun kenyataan belajar dengan syaitan itu, tidak didapati sahih dari segi sanadnya (jalur riwayat), tapi ia sahih dari segi maknanya (bagi mereka yang melihat dengan hati yang cerah dan bersikap terbuka).

Ia adalah suatu perumpamaan daripada para ulamak untuk memberi peringatan kepada mereka yang suka menjadikan bahan bacaannya sebagai ilmunya. Jangan difahami secara zahir plak ya. Perlu diingat, buku adalah alat sahaja untuk menimba ilmu. Untuk menggunakan alat, perlu kepada yang pakar untuk menunjuk caranya.

Kita lihat hari ini, salah faham terhadap agama, kebanyakannya berasal daripada golongan yang suka membaca tanpa guru, lantas memahami dengan salah dan menyesatkan pula kefahaman orang lain. Lihat sahajalah ajaran-ajaran sesat yang timbul sekarang, kebanyakannya adalah intepratasi dari kitab-kitab yang sahih. Bukankah ini adalah bukti yang cukup jelas betapa syaitan menyesatkan manusia yang membaca dan belajar tanpa berguru?

Buku yang kandungannya penuh dengan Ayat-ayat Alquran dan hadis-hadis yang kuat pun, boleh disalah fahami lantas menatijahkan kesesatan kepada pembacanya. Oleh kerana itu ulamak zaman berzaman sentiasa menasihati kita agar berjaga-jaga dalam pembacaan buku. Orang yang belajar dengan berguru pun boleh sesat, apatah lagi orang yang tidak belajar dengan guru kan?

Akan tetapi, bukanlah kita menutup terus pintu bacaan kepada Ummat Islam. Malah Ummat Islam sepatutnya menjadi ummat yang paling rajin membaca. Hanyasanya, bacalah buku mengikut tahap kemampuan masing-masing. Kita akan merasa lucu, jika seorang pelajar fizik sekolah menengah, membaca dan membahaskan teori fizik yang ditulis oleh seorang profesor untuk dibahaskan oleh profesor-profesor lain.

Di dalam ilmu agama juga begitu. Tiada masalah untuk kita semua membaca kitab-kitab motivasi agama, sirah para rasul dan sahabat, galakan beribadat dan ancaman terhadap kemaksiatan, dan sebagainya. Namun di sana, ada kitab-kitab yang memerlukan kepada guru yang membimbing. Ada juga yang memerlukan kita membaca, kemudian bertanya kepada guru. Ada juga buku yang boleh dibaca oleh mereka yang sudah mencapai ke tahap pembelajaran yang tertentu. Hukum tak boleh diambil sekadar membaca. Aqidah jauh sekali.

Ini bermakna, memang membaca tanpa berguru itu banyak membawa kesesatan yang disemarakkan lagi oleh syaitan. Namun Islam tetap menggalakkan sikap suka membaca. Islam juga mengajarkan kepada kita adab-adab membaca, cara membaca, apa yang hendak dan boleh dibaca, bila hendak dibaca dan sebagainya, bagi mengelakkan kita menjadi bahan tawa syaitan yang direjam.

Mungkin ada yang menyatakan, saya akan ambil yang benar, dan saya akan tinggalkan mana yang saya ragui. Saya akan ambil mana yang bersumberkan Al-quran dan hadis sahaja. Kita katakan, oleh kerana kita ini masih lagi di tahap "orang awam" dan "pelajar" maka kita sukar untuk membezakan mana yang benar mana yang salah. Takut-takut yang salah itu dikaburi dengan Alquran dan Hadis, lantas kita anggap benar. Maka jadilah kita orang yang sesat dan menyesatkan. Na'uzubillah.

Berkenaan bidang ilmu, dan tulisan seorang yang bukan ahli, dakwah dari seorang businessman dan sebagainya, telah ana tulis di blog lama ana tiga tahun lalu. Rajin-rajinkanlah membaca link di bawah ya:

Bhgn. 1: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/87.html
Bhgn. 2: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/88.html

Wallahu A'lam.

Sumber: www.aljoofre.iluvislam.com

18 December 2009

Hairan dan peliknya kita???

Peliknya kita
Setiap tahun ada pertandingan tilawah al-Quran
Tak cukup peringkat kebangsaan, dibuat pula peringkat antarabangsa
Tapi dengan al-Quran masih lagi bersikap ikut selera
Mana rasa elok, diamalkan
Mana rasa tak elok dikatakan ketinggalan zaman

Peliknya kita
Kerana bola, jam 3 pagi boleh bersengkang mata
Kerana bola, mampu bangun diwaktu ayam pun tak bangun lagi
Tetapi 3 pagi akan jadi terlalu berat jika untuk solat 2 rakaat
Waktu sahur cukup menyeksakan

Peliknya kita
Sanggup bersesak, berhimpit di padang konsert hiburan
Sanggup memberi komitmen memenuhi dan memeriahkan konsert hiburan
Tetapi program Allah 5 kali sehari langsung tidak mendapat sambutan meriah
Tidak sanggup untuk berdiri di dalam saf walaupun 5 minit sahaja

Peliknya kita
Gembira mendabik dada kerana anak pandai menyanyi
Namun tiada yang sedih jika zuriatnya buta al-Quran
Langsung tidak resah jika anaknya tidak tahu sujud kepada yang Esa.

Peliknya kita
Setiap tahun mereka sanggup menunggu tepat jam 12 malam
Sempena hari merdeka dan tahun baru
Tidak ramai yang mahu menunggu tiba waktu solat di masjid

Peliknya kita
Menangis teresak-esak apabila artis pujaan tewas
Bersedih apabila bintang pilihan tersingkir daripada rancangan realiti
Namun berapa ramai yang sudi melinangkan air mata penyesalan taubat kepada yg Esa
Siapa yang menangisi kematian alim ulama'

Peliknya kita
Jari jemari cukup ringan menaip mesej untuk pasangan kekasih
Menghabiskan berpuluh ringgit membeli tiket menonton wayang
Tetapi jari kaku untuk memasukkan seringgit ke dalam tabung masjid
Terlalu berat untuk bersedekah kepada fakir miskin

Pelik...
Bila tengok anak-anak muda datang masjid untuk solat jumaat
Tapi bila orang solat, mereka sibuk berbual sambil hisap rokok

Pelik...
Tengok orang naik motor guna satu tayar
Konon-kononnya nak terbang
Lebih baik letak satu tayar saja atau siap pasang sayap kapal terbang

Pelik...
Bila mak ayah buat tak nampak saja
Anak gadis pakai ketat dan sendat
Dedah sana buka sini ikut suka hati
Bila sudah 'kena', mula nak salahkan orang lain

Pelik...
Jumpa kawan-kawan sekolah dulu
Dulu belajar agama
Tapi sekarang macam orang tak pernah belajar agama

Pelik...
Kalau kita kata kita belajar agama
Mesti ada orang akan tanya
Nanti habis belajar nak kerja apa?

Peliknya kita
Setiap kali aku menulis fakta yang benar dan kenyataan
Mengenai bangsaku, kaumku dan umatku
Pasti ada suara sumbang dan lantang yang cuba mempertikaikannya
Umpama menegakkan benang yang basah.

Masih ada waktu
Masa untuk berubah
Segalanya ditangan anda
Salam Maal Hijrah 1431 Hijrah

03 December 2009

CaRtA OrGaNiSaSi BaDAr 09/10

Pada bulan oktober 2009 seramai 26 pelajar smka simpang lima telah dipilih bagi menggantikan biro-biro lama seterusnya membentuk satu organisasi yang baru...

STRUKTUR ORGANISASI BADAN DAKWAH DAN ROHANI
SMKA SIMPANG LIMA
SESI 2009/2010

PENAUNG : Pn Hajjah Fatimah bt Abdullah
: Pn. Hajah Zabaidah
: Pn. Noormah bt Awang

GURU PENASIHAT : Ustaz Hatimul Ahsom b Yusof
: Ustaz Khairuzzaman b Sulaiman
: Ustaz Mohd Rahim b Ariffin
: Ustaz Hafidz b Said
: Ustaz Mohd Noor b Mahmud
: Ustaz Rizalman b Ahmad Yusof al-Hafiz
: Ustazah Buniamin bt Ramli

AJK TERTINGGI DAN BIRO-BIRO

PENGERUSI : Mohd Izwan b. Mohd Ali
NAIB PENGERUSI : Mohd Rashid b. Ngesan
SETIAUSAHA : Syahmi b. Sulaiman
NAIB SETIAUSAHA : Abu Ubaidah b. Abdul Aziz
BENDAHARI : Mohd Wafi b. Shamsudin
NAIB BENDAHARI : Sohibul Fidauddin b. Saiful Azami
BIRO USRAH : Mohd Iqwan b. Ahmad Zaidi
BIRO MUSOLLA : Mohd Firdaus b. Zulkifli
BIRO CERAMAH : Mohd Izzul Azmil b Rusmin
BIRO PENERBITAN : Muhd Izzuddin b. Abdul Alim
BIRO DOKUMENTASI : Ahmad Fahim b. Jamaluddin
BIRO KEBAJIKAN : Amirul Mukminin b. Othman

HAL EHWAL WANITA

PENGERUSI : Siti Khadijah bt Kamarudin
NAIB PENGERUSI : Mumtaz bt Jumeren
SETIAUSAHA : Nur Hafizah bt abdul wahab
NAIB SETIAUSAHA : Siti Masliah bt Mohd Nuri
BENDAHARI : Siti Norizzah bt Zaibani
NAIB BENDAHARI : Nabilah bt Zainol Azmi
BIRO USRAH : Nur Suhailah bt Kahar
BIRO MUSOLLA : Afina bt Safar
BIRO CERAMAH : Nurfarahani bt Mohd Yusuf
BIRO PENERBITAN : Siti Hajar bt Hadis
BIRO DOKUMENTASI : Nasirah Noor bt Othman
BIRO KEBAJIKAN : Nurul Husna Assaedah bt Bain
BIRO QIAMULLAIL : Najihah bt Jaafar

biro-biro ini di lantik bagi meneruskan perjuangan badar smka simpang lima..
bersamalah kita membantu biro-biro ini..
ASSALAMUALAIKUM.Hari ini kita akan berkenalan dengan satu organisasi AGAMA yang telah diwujudkan di SMK AGAMA SIMPANG LIMA yang dikenali sebagai Badan Dakwah & Rohani(BADAR).BADAR diwujudkan sebagai satu organisasi yang bertanggungjawab dalam segala aktiviti keagamaan di SLISS.Organisasi ini beroperasi sebagai 'Pendakwah' dalam menyempurnakan akhlak dan sahsiah para pelajar.Di bawah pengendalian Ustaz Hatimul Ahsom(Guru Penasihat) dan kerjasama antara Exco BADAR,pelbagai aktiviti keagamaan dapat dijalankan dengan jayanya.BADAR juga dibantu secara langsung oleh pihak sekolah SMKA SIMPANG LIMA dalam mendapatkan peruntukan bagi melancarkan perjalanan aktiviti-aktiviti tersebut.

P/S:Segala perkara yang baik insya-Allah dapat dijalankan dengan kerjasama daripada semua pihak.Manusia hanya merancang,Allah yang menentukan.........AMIN